Pemberian Geran Sepadan adalah berasaskan kepada pengumuman oleh YAB Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2003 pada 20 September 2002. Pada dasarnya, kerajaan telah bersetuju memperuntukkan RM1 bilion dalam bentuk Geran Sepadan sebagai insentif untuk menarik orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak mereka.
Keistimewaan Simpan SSPN Prime antaranya pemberian Geran Sepadan ada termaktub di dalam P.U.(A) 268 Peraturan-Peraturan Skim Simpanan Pendidikan Nasional 2004 walaupun ianya tidak dinyatakan secara jelas dan terperinci satu persatu di dalamnya. Peraturan 9.(1) menyebut “Perbadanan boleh, dengan kelulusan Menteri Kewangan, memberikan sesuatu insentif kepada mana-mana kategori atau kumpulan pendeposit yang dirasakan sesuai oleh Perbadanan tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang ditentukan oleh Perbadanan”.